PEMBANGUNAN KELUARGA

SEPATAH KATA


Halaman ini diwujudkan sebagai usaha membantu kita memahami dan menghayati peranan keluarga dalam pembangunan masyarakat dan bangsa.   Ia juga bertujuan untuk memberi kita pilihan-pilihan serta panduan-panduan ke arah mengukuh dan memperkasakan lagi institusi keluarga.

Banyak telah diperkatakan mengenai masalah yang dihadapi oleh institusi keluarga hari ini.   Banyak pandangan dan pendapat telah diberikan oleh para bijak pandai dan mereka yang pakar dan ariff dalam bidang ini,   sama ada dari perspektif keagamaan,  sosiologi,  saikologi,  ekonomi  dan sebagainya.

Adalah menjadi harapan kami  semoga apa yang akan dipaparkan di dalam lamanweb ini,  dapat membantu dan menokok tambah usaha yang sedang dan akan kita laksanakan bagi memperkukuh dan memperkasakan lagi institusi ini.

Awal-awal lagi kami ingin menyatakan bahawa kami bukanlah terdiri dari golongan pakar dalam bidang ini,  akan tetapi kami perihatin dan apa yang akan kami paparkan adalah pandangan dan idea yang kami percaya praktikal dan boleh dijadikan panduan dan bimbingan kita kearah membentuk satu institusi keluarga yang kukuh,  kuat dan dapat memainkan peranan penting dalam pembangunan masyarakat dan bangsa.

Untuk tujuan ini,  kami akan mendapatkan sumbangan-sumbangan dari pakar dalam bidang ini,  dan dari organisasi dan agensi yang berkaitan.   Kita akan mengkaji,  meneliti  dan  meninjau sedalam-dalamnya subjek ini,  supaya kita benar-benar faham akan maksud dan tujuan keluarga dan kekeluargaan,  sambil mengenalpasti segala-galanya mengenai institusi keluarga.

Adalah diharapkan dan dipercayai bahawa sumbangan ala kadar lamanweb ini dapat membantu kita menghadapi masa mendatang dengan lebih yakin lagi,  sambil menggunakan institusi keluarga ini sebagai asas pembangunnan umat manusia secara keseluruhannya.

Sebagai post awalan lamanweb ini,  kami akan tumpukan perhatian kepada istilah atau maksud ‘keluarga’ itu sendiri.

Kami petik di sini penjelasan dari  Wikipedia encyclopedia bebas:

Dari Wikipedia Bahasa Melayu, ensiklopedia bebas.

Keluarga ialah satu kumpulan manusia yang dihubungkan melalui pertalian darah, perkahwinan atau pengambilan  anak angkat.

Di Barat, keluarga didefinisikan sebagai satu kumpulan manusia yang mempunyai hubungan darah atau pertalian sah seperti perkahwinan dan pengambilan anak angkat. Banyak ahli antropologi berpendapat istilah “darah” perlu difahami secara metaforik kerana banyak masyarakat bukan Barat mempunyai konsep berkeluarga yang tidak bersandarkan “darah”.

Silang budaya keluarga

Berdasarkan antropologi dan sosiologi, fungsi utama sesebuah keluarga ialah untuk menambah bilangan anggota masyarakat sama ada dengan cara biologi atau sosial (iaitu perkahwinan). Oleh itu, seseorang akan merasai perubahan perasaan berkeluarga misalnya bagi anak anak, keluarga bersifat orientasi, iaitu keluarga bertanggungjawab untuk meletak mereka kepada masyarakat melalui pendidikan dan sebagainya. Manakala bagi ibu bapa, keluarga bersifat prokreasi yang mana matlamat utama ialah menghasilkan, membudayakan dan mensosialkan zuriat. Walaubagaimanapun menghasilkan zuriat bukanlah tujuan utama sesebuah keluarga. Dalam masyarakat yang mempunyai pembahagian dalam pekerjaan, kehendak berkeluarga, dan hasil hubungan antara suami dan isteri, pembentukan isi rumah yang produktif dan ekonomi adalah amat penting.

SHAFIEE KHATIB JALI, dalam buku kecilnya bertajuk ‘Pembentukan Ummah Menurut Islam’ untuk Lembaga Penduduk & Pembangunan Keluarga Negara,  menulis:

Manusia adalah suatu kejadian ciptaan Allah S.W.T  yang paling baik bentuk dan rupa parasnya,  berbanding dengan makhluk-makhluk lain.   Mempunyai akal fikiran,  perasaan  dan  nafsu keinginan.

Keluarga adalah komponen terkecil dari susunan masyarakat manusia.   Sekurang-kurangnya terdiri dari suami isteri.  Lengkapnya terdapat anak-anak dan lain-lain angota keluarga tinggal bersama.

Maju mundurnya sesebuah masyarakat banyak bergantung kepada keadaan keluarga yang menganggotai masyarakat berkenaan.  Ahli-ahli kemasyarakatan menggambarkan tentang pentingnya sesebuah keluarga dalam membentuk dan membangunkan masyarakat manusia.

‘Rumahtangga adalah markas di mana denyut-denyut pergaulan hidup menggetar.  Dia adalah susunan hidup yang dapat mengekalkan keturunan.  Di dalamnya lahir dan berkembang segala yang berkaitan dengan keperluan hidup manusia.   Keluarga adalah satu kumpulan yang padu,  teratur dan sempurna.   Dari situlah terpancar perasaan halus  (wajdan)  dan sukmajiwa yang hidup sebagai mata air perikemanusiaan dan tasik persaudaraan sejagat yang tidak akan ketandusan.’

Kami akan dapatkan lagi petikan-petikan mengenai  keluarga dan kekeluargaan untuk dipaparkan bagi faedah kita semua, dari satu ke satu masa.

Harapan kami semoga,   secebis apa yang kami bentangkan,  akan menjadi pemangkin kepada kita semua,  dalam usaha kita menjalani hidup,   dan menjadikan  keluarga dan kekeluargaan  sebagai landasan di atas mana dapat kita lalui dalam perjalanan hidup kita.