PEMBELAJARAN DAN PENDIDIKAN 

 

Pendidikan,   pembelajaran   dan   usaha menimba ilmu pengetahuan,   merupakan agenda terpenting  dan  mendapat tempat utama dalam kita menjalani hidup hari ini.

Sebagai ibubapa kita memang sedar betapa pentingnya anak-anak kita diberi didikan yang sempurna dan lengkap demi kesejahteraan masa depan mereka.   Kita juga sedar bahawa apalah masa depan mereka tanpa ilmu pengetahuan,    tambahan pula kita ketahui  bahawa ilmu pengetahuan itu adalah perkakasan  dan  alat yang amat penting dalam dunia yang serba mencabar hari ini.

Oleh yang demikian,   segala-galanya harus kita lakukan,   untuk menentukan bahawa anak-anak kita dibekalkan secukupnya dengan ilmu pengetahuan dalam hidupnya.

Terdapat dua kaedah yang kita hadapi dalam perkara pendidikan ini,  iaitu seperti berikut:

  • Satu,   ialah untuk menentukan anak-anak kita mencapai prestasi yang cemerlang dengan mendapat keputusan terbaik dalam tiap peperiksaan yang dilaluinya.
  • Dua,  ialah untuk menentukan bahawa anak-anak kita mempunyai minat,  memahami   dan  dapat menghayati mata pelajaran yang dipelajarinya,   supaya dapat digunapakai olehnya secara praktikal dalam kehidupan sehariannya kelak.

Kedua-dua kaedah ini sama pentingnya,   dan relevan pula kepada perkembangan dan kemajuan hidup semasa.   Kedua-duanya berganding antara satu sama lain.   Dan peranan kita sebagai ibubapa pula ialah menentukan bahawa kedua-dua kaedah ini dapat direalisasikan matlamatnya.

Bukanlah menjadi tujuan halaman ini untuk mengambil alih tugas guru,  tutor  atau ibubapa.   Sebaliknya kami cuma mempunyai hasrat  untuk menjemput kita semua melihat dan meninjau lebih mendalam ehwal pendidikan,   dan kaedah-kaedah yang digunakan hingga kini dalam membawa ilmu pengetahuan kepada kita dan juga anak-anak kita.   Kita akan lihat keberkesanan pendidikan dalam menyediakan masyarakat anak-anak kita menghadapi dunia yang lebih luas dan canggih di masa akan datang.

Harapan kami juga ialah blog ini dapat memberi kita lebih kesedaran tentang betapa pentingnya ilmu pengetahuan kepada manusia hari ini,  khususnya kepada anak-anak kita.   Dan seterusnya apakah peranan yang harus kita mainkan,  sebagai ibubapa yang bertanggungjawab.

SEDIKIT UNTUK IBUBAPA

Kita yang mempunyai anak-anak bersekolah,   memang sentiasa inginkan supaya prestasi dan pencapaian anak-anak kita itu dalam pelajaran,   berada pada tahap yang tinggi dan membanggakan.   Kita akan lakukan apa saja bagi menentukan supaya matlamat ini dicapai.

Pendek kata,  kita memang komited dalam hal ini.   Ia juga merupakan tanggungjawab yang maha penting kepada kita.

Dalam hal ini kita harus memikirkan satu rumusan atau formula  yang boleh kita jadikan landasan.   Mungkin kita telah melakukan pelbagai cubaan,   tetapi hasilnya belum lagi membawa kepuasan kepada kita.   Oleh itu kita perlu terus mencarinya.

Kita harus sedar bahawa prestasi dan pencapaian yang tinggi,  tanpa kefahaman dan penghayatan terhadap mata pelajaran yang dipelajari,   belum tentu dapat menghasilkan anak-anak kita yang maju dan membangun secara lengkapnya.

Memandang kepada hakikat ini,   pendekatan kita perlu bercorak serampang dua mata,   iaitu satu,   untuk meningkatkan prestasi dan pencapaian anak-anak kita,     dan yang lagi satu, menentukan bahawa pembangunan mereka hendaklah sesuai dengan keperluan hidup semasa, dan di zaman mendatang,   iaitu dengan menggunakan ilmu pengetahuan yang diperolehi secara praktiknya.

Cuba kita perhatikan senario dalam masyarakat kita hari ini.  Tidak boleh dinafikan bahawa sebagai ibubapa,  kita banyak menyerahkan soal pendidikan dan pelajaran anak-anak kita kepada masyarakat guru di sekolah sahaja.   Kita selalu mempunyai anggapan bahawa tanggungjawab guru ialah untuk mendidik anak-anak kita.    Rasanya suasana ini perlu kita ubah dan diperbetulkan.

Cuba kita perhatikan  dalam satu hari  ….  Hanya lebih kurang 1/3 waktu anak-anak kita berada di sekolah.   Selebihnya dia berada di luar sekolah.   Atau lebih tepat dia berada di luar kawalan atau bimbingan guru.   Maknanya,  lebih banyak waktu anak-anak itu secara logiknya ialah dengan kita ibubapanya.   Ini rasanya membawa erti bahawa dalam waktu inilah tanggungjawab kita amat diperlukan.

Dengan lain-lain perkataan,   haruslah kita tentukan bahawa waktu anak-anak kita berada dengan kita diurus dengan baik dan penuth kualiti.   Rasanya sebagai ibubapa yang bertanggungjawab terhadap pembesaran,  pembangunan  dan  masa depan anak kita,   kita akan sedar peranan yang harus kita mainkan.

Tambahan pula jika difikirkan,  kita ibubapanya ialah manusia yang mula dihadapinya dalam hidup sehariannya,    dan kita jugalah manusia yang didakapinya sebelum dia tidur.

BIDANG-BIDANG PENDIDIKAN

Sudah banyak kita perkatakan mengenai peranan ibubapa.   Akan tetapi,  lamanweb ini bukan sahaja hendak menumpukan perhatian kepada soal ini,   bahkan banyak lagi yang akan kita lihat dan tinjau dalam perkara pendidikan ini.

Kami bercadang untuk menyentuh segala bidang dan aspek yang berkaitan dan relevan dengan pendidikan.   Umpamanya kita cuba melihat sejarah pendidikan,   yang bermula kira-kira antara 3,000 hingga 500 tahun sebelum Masehi di Mesir.   Kita akan meninjau perkembangannya sejak itu,   dan peranannya dalam pembangunan tamadun manusia.

Kita akan melihat falsafah pendidikan,  psychologinya,   ekonominya,   bidang  sosiologinya,  dan banyak lagi.

Kita akan cuba mendalami aspek dan sistem pendidikan,   seperti pendidikan sekolah rendah,  sekolah menengah,  sekolah swasta,   pelajaran di institusi pengajian tinggi,   pelajaran dewasa,  pelajaran alternatif  dan sebagainya.   Kita akan juga memperkatakan perkara proses pendidikan seperti model pembelajaran,  teknik pengajaran  dan  teknologi-teknologi pendidikan.

Pendek kata segala-segalanya mengenai pendidikan,  pelajaran dan pembelajaran  akan cuba kita ulas dan huraikan.

Tujuannya ialah untuk kita sedar betapa pentingnya kita memahami apakah itu pendidikan  dan menghayatinya,  supaya dapatlah ia menjadi penggerak dan pemangkin dalam usaha kita membangun dan memajukan anak-anak kita dengan lebih komited dan berkesan lagi.

MENIMBA ILMU DAN MEMPRAKTIKKANNYA


Banyak telah diperkatakan,  terutama di kalangan anggota generasi tua,  bahawa oleh kerana terlalu banyak universiti diwujudkan di negara hari ini,  mutu atau kualiti graduan yang dihasilkan terjejas dan sudah agak merosot iaitu jika dibandingkan dengan keadaan semasa negara hanya mempunyai beberapa buah universiti sahaja.   Di era 50an hingga 70an dahulu,  para lepasan universiti sudah boleh melaksanakan tugas sebaik sahaja menerima ‘scroll’  yang diidamkan,  sudah boleh menerima tugas-tugas dan tanggungjawab dan sudah boleh membuat keputusan.  Ketika itu para graduan tidak perlu mengikuti latihan atau penyesuaian untuk menjalankan tugas yang diamanahkan kepada mereka … walau di desa sekali pun.

Masih tersemat di dalam ingatan generasi tua,  yang pernah mengikuti pengajian tinggi di menara gading,  bahawa suasana pembelajaran pun agak berbeza.  Pensyarah memberi syarahan,  para pelajar mengikuti dengan penuh tekun.  Tidak terdapat perhatian mereka tertarik oleh perkara-perkara seperti telefon bimbit  (ketika itu telefon bimbit belum wujud),  atau berborak di dalam bilik kuliah,  atau tertidur semasa mengikuti syarahan atau tutorial.  Pendek kata,  perhatian para pelajar tertumpu sepenuhnya kepada apa yang disampaikan oleh pensyarah.  Selesai sessi syarahan ini,  maka berkejaranlah mereka menuju keperpustakaan … untuk mendapatkan buku-buku rujukan yang dikenalpasti oleh pensyarah tadi.

Balik sahaja ke bilik tempat tinggal (hostel),  mereka tidak membuang masa … terus membuat catitan nota dari syarahan yang telah diikuti.  Begitulah seterusnya.

Walaupun demikian,  setelah penat memeras otak,  mereka menyertai juga aktiviti-aktiviti riadah.  Terdapat keseimbangan dalam kehidupan mereka di kampus.  Pendampingan mereka dengan masyarakat sekeliling tidak pula diabaikan,  walaupun kebanyakan aktiviti kemasyarakatan adalah hasil daya usaha mereka sendiri.

Keadaan ini mungkin disebabkan bahawa perjalanan ke menara gading ketika itu tidaklah semudahnya.  Hanya yang terbaik sahaja mendapat tempat.  Hanya mereka yang sanggup bekerja kuat mendapat ganjaran yang dimatlamatkan.

Hari ini,  keadaan dan suasana seperti ini kurang didapati.  Daya saing dan semangat juang di dalam usaha menimba ilmu,  dalam ertikata sebenarnya, kurang menyerlah.

Rasanya,  ada baiknya jika para pelajar IPTA/IPTS hari ini dijemput untuk meneliti keadaan dan suasana pengajian di universiti di masa lampau.  Lihatlah bagaimana tekunnya masyarakat pelajar ketika itu menjalani pengajian mereka.  Lihatlah semangat juang dan daya saing mereka.  Lihatlah bagaimana mereka menjalani tugas yang telah diamanahkan kepada mereka terutama oleh anggota keluarga  dan masyarakat sekeliling mereka.

Matlamat mereka sama seperti matlamat tiap pelajar hari ini,  iaitu untuk pulang dengan membawa ijazah yang diimpikan.  Tetapi,  selain dari itu dari awal lagi mereka telah mula berfikir peranan mereka kepada masyarakat,  bangsa dan negara,  yang sangat memerlukan kebijaksanaan mereka.  Kerana ilmu yang ditimba haruslah dipraktikkan sebaiknya demi membawa kesejahteraan dan kebahgiaan kepada umum.

 SATU PANDANGAN UNTUK DIRENUNG BESAMA

Hari ini matlamat utama pembelajaran, tidak kira di peringkat apa juga,  ialah untuk menentukan bahawa kecemerlangan dicapai oleh para pelajar.  Amat diperlukan bahawa mereka mencapai setinggi dan sebaik penghasilan dalam mata pelajaran mereka.  Ini adalah satu hakikat dan ini juga merupakan satu kaedah pengukur prestasi para pelajar.

Untuk tujuan ini pelbagai panduan dan bimbingan direkacipta untuk menambah dan membantu mereka kearah metlamat ini.

Akan tetapi matlamat ini dan juga kaedah-kaedah bantuan pembelajaran yang telah diwujudkan dengan sendirinya menimbulkan satu suasana yang tidak begitu sihat yang biasanya menggaanggu emosi,  kestabilan dan ketenteraman pelajar.

Mungkin kaedah-kaedah ini menghasilkan pelajar yang berjaya mendapatkan keputusan peperiksaan yang amat cemerlang dengan 20A dan seumpamanya,  akan tetapi adakah keadaan ini dapat menentukan mereke lebih bersedia menghadapi peringkat-peringkat pelajaran yang lebih tinggi,  atau adakah mereka lebih bersedia dengan sepenuhnya menghadapi kehidupan di ‘dunia luar’ yang penuh dengan cabaran.

Dasar pendidikan negara antara lain ada memaktubkan bahawa pelajaran hendaklah mempunyai matlamat supaya para pelajar mengikuti atau didedahkan kepada pelajaran yang menyeluruh atau ‘total education’.

Kita perhatikan keadaan sebenar yang berlaku.   Seorang pelajar yang mendapat keputusan peperiksaan 20A umpamanya.  Adakah pelajar ini memahami atau dapat menghayati mata pelajaran yang telah dipelejarinya?  Tidak boleh dinafikan bahawa pelajar ini belajar hanya untuk mengumpul sebanyak mana A yang boleh diperolehinya.

Kerana keputusan peperiksaan ini akan memuaskan hatinya, bahawa dia juga boleh mendapat banyak A.   Memuaskan hati ibu bapanya,  yang berasa gembira bahawa anaknya juga termasuk di dalam golongan pelajar yang cemerlang.   Dan membawa rasa gembira pula kepada guru besarnya,   yang sekolahnya dapat menghasilkan pelejar-pelajar yang cemerlang dan ini sudah tentu meningkatkan krediliti dan kepimpinannya.

Keadaan ini dengan sendirinya membawa kita kepada tafsiran bahawa sistem pembelajaran yang memandu para pelajar adalah untuk mencapai kejayaan dengan mengumpul seberapa banyak A yang boleh, oleh mereka.   Ini pula membawa kita kepada hakikat bahawa kaedah yang digunakan untuk membawa hasil seperti ini adalah kaedah yang akan mencetuskan rasa bimbang,  risau,  trauma,  tertekan dan sebagainya di kalangan para pelajar.

Dengan ini sebagai latarbelakang,  maka difikirkan sudah tiba masanya satu kaedah baru menggunakan konsep pembelajaran yang lebih praktikal dibentuk,   demi untuk mewujudkan masyarakat pelajar yang diberi pendidikan secara menyeluruh.  Kaedah ini dirasakan boleh membantu masyarakat pelajar di semua peringkat pelajaran menyediakan diri menghadapi apa juga cabaran di masa hadapan.