PERIKANAN 

PENGENALAN KEPADA INDUSTRI PERIKANAN NEGARA 

PERKEMBANGAN PERUSAHAAN PERIKANAN DI SEMENANJUNG MALAYSIA: ISU DAN PERSOALAN

                Mohammad Raduan bin Mohd Ariff,  Mohammad Sharir, Ismail Ali, Mazlan Majid, Hanafi Hussin                 University of Malaya

Sektor perikanan merupakan salah satu sektor ekonomi yang penting kepada  negara.   Sektor ini telah memainkan peranan sebagai penyumbang sumber protein  termurah. Pada masa ini sektor perikanan telah menyumbang sebanyak 1.37 %  kepada KDNK dan menyediakan peluang pekerjaan kepada 89,433 orang nelayan  dan 21,114 orang penternak ikan (Jabatan Perikanan Malaysia, 2003). Selain itusektor ini juga telah membantu dalam pertumbuhan dan perkembangan industri  huluan dan hiliran yang berasaskan sumber perikanan, seperti industri membuat bot, perkakas menangkap ikan, memproses ikan, mengilang ikan dan hasil  perikanan serta restoran makanan laut. Pengeluaran ikan dalam negara juga telah dapat mengurangkan jumlah ikan yang terpaksa diimport untuk keperluan rakyat. Pada masa yang sama pengeksportan ikan dan hasil perikanan ke luar negara telah menyumbang kepada pendapatan negara melalui tukaran wang asing.

Permintaan terhadap ikan sebagai sumber makanan terus meningkat seiring dengan peningkatan penduduk. Permintaan ikan negara untuk tujuan makanan pada tahun 2010 dianggarkan sebanyak 1,591,000 tan metrik. Sementara penawaran ikan dianggarkan sebanyak 1,500,400 tan metrik iaitu 94.3 peratus daripada keperluan negara (Malaysia. Kementerian Pertanian Malaysia, 1998). Keadaan ini menunjukkan permintaan ikan dalam negara telah mengatasi penawaran. Untuk memenuhi permintaan, negara terpaksa mengimport sebanyak 5.7 peratus lagi.

 Jabatan Perikanan Malaysia telah dan sedang mengambil beberapa tindakan untuk meningkatkan pengeluaran ikan negara. Antara usaha yang sedang diambil adalah dengan menggalakkan perikanan laut dalam dan membangunkan sektor akuakultur. Penambahan vesel laut dalam serta pengurusan sumber perikanan secara mapan dan berterusan akan menjamin keberkekalan sumber ini bagi masa akan datang. Namun begitu, pergantungan kepada pengeluaran perikanan tangkapan mungkin tidak dapat lagi memenuhi permintaan yang kian bertambah. Justeru, sebagai alternatif sektor akuakultur telah diberi penekanan bagi menjamin pengeluaran ikan negara memandangkan sektor ini mempunyai kawasan berpotensi yang luas. Dijangkakan bahawa pengeluaran daripada sektor ini akan dapat ditingkatkan empat kali ganda pada tahun 2010 (Jabatan Perikanan Malaysia, 2003).

 Sektor perikanan telah menunjukkan perkembangan pesat sejak zaman sebelum merdeka lagi. Namun demikian, sepanjang tempoh berkenaan perkembangan ini turut membawa kepada beberapa perkembangan negatif. Keadaan ini boleh dilihat daripada aspek pengurusan sumber perikanan di perairan negara. Dalam usaha meningkatkan pendaratan ikan semaksimummungkin, salah satu aspek yang sangat penting diberi perhatian adalah jaminan sumber perikanan berkenaan tidak habis dalam jangka masa yang singkat. Kemerosotan sumber perikanan bermakna akan berlaku kemerosotan industri perikanan negara.

Klik di sini untuk membaca artikel ini sepenuhnya. 

SEJARAH AWAL PENUBUHAN JABATAN PERIKANAN

Sejarah Jabatan Perikanan bermula apabila kerajaan British menubuhkan Unit Perikanan Kolonil pada tahun 1894 dan diletakkan di bawah Pejabat Setiausaha Rendah Bagi Negeri-Negeri Selatan. Unit ini bertanggungjawab mengawal aktiviti perikanan di Negeri-Negeri Selat dan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu.

Pada waktu itu, aktiviti perikanan diusahakan secara kecil-kecilan sebagai saradiri penduduk yang tinggal di tepi pantai dan muara sungai. Pada tahun 1904, satu kajian awal mengenai spesis ikan laut telah dijalankan di pantai barat Negeri-Negeri Selat dan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu. Pada masa yang sama penghijrahan penduduk dari selatan Thailand ke negeri Perlis, Kedah dan Kelantan semakin ramai. Sebahagian daripada mereka telah menjalankan aktiviti menangkap ikan sebagai punca pendapatan. "Ordinan Perikanan" telah diperkenalkan pada tahun 1909 bagi mengawal aktiviti perikanan.

Pada 1 Februari 1915 sebuah jabatan yang bertanggungjawab ke atas urusan perikanan telah diwujudkan yang dikenali sebagai Jabatan Perikanan dan Muzium. Ia diketuai oleh H.C.Robinson sebagai pengarah. Pada tahun 1921, C.E.Green dilantik mengetuai Jabatan Perikanan dan Muzium. Pada 14 Julai 1922, Jabatan Perikanan dan Muzium telab dipisahkan dan Jabatan Perikanan British-Malaya ditubuhkan. David G. Stead telah dilantik sebagai pengarah dan Singapura dipilih menjadi lokasi ibu pejabatnya yang pertama

Usaha untuk membangun dan memajukan akuakultur telah dimulakan pada tahun 1930an. Sebuah Stesen Percubaan Menternak Benih Ikan Air Tawar di Tapah, Perak telah ditubuhkan pada tahun 1935. Tumpuan utama Jabatan Perikanan British-Malaya ialah melindungi sumber perikanan, meningkatkan pengeluaran ikan dan mempelbagaikan pengeluaran dari sumber perikanan. 

Dipetik dari lamanweb rasmi JABATAN PERIKANAN MALAYSIA

 <<<< PERIKANAN - Berita                                                              PERIKANAN - Aktiviti >>>>