TERNAKAN

PENGENALAN KEPADA INDUSTRI PENTERNAKAN 

Penternakan ialah satu kegiatan pertanian yang membiak haiwan-haiwan ternakan. Ia telah diamalkan sejak beribu-ribu tahun dahulu apabila anjing, kambing dan biri-biri berjaya dijinakkan. Pada zaman Neolitik, oleh kerana manusia mula tinggal menetap di satu-satu tempat, kegunaan haiwan ternakan itu diperluaskan kepada kulit dan bulunya, berbanding zaman sebelumnya yang tertumpu hanya kepada daging untuk makanan. Setelah itu, manusia mula memternak lembu dan kerbau untuk mendapatkan susu dan kulitnya selain digunakan untuk membajak tanah bagi membantu kegiatan bercucuk tanam. Seterusnya kegiatan ini diperluaskan sehingga meliputi hampir kesemua haiwan dan mempunyai tujuan yang berbeza-beza.

Pada zaman moden ini, ilmu penternakan boleh dipelajari di pusat-pusat pengajian di seluruh dunia. Para siswazah boleh mempelajari selok-belok penternakan di dalam pelbagai bidang pengkhususan seperti perubatan veterinar, ilmu pemakanan, baka dan genetik, selain pembiakan. Mereka kemudiannya boleh mendapat pekerjaan di pelbagai sektor ekonomi seperti industri farmaseutikal, veterinar, industri makanan, selain pertanian dan penternakan.

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Mengembangkan Industri Ternakan 

Industri ternakan terutama ternakan ruminan pada masa ini masih berskala kecil dan berpotensi untuk dikembangkan bagi menjamin bekalan makanan dalam negara serta mengurangkan daging import. Antara isu dan cabaran yang dihadapi dalam pembangunan industri ini adalah kekurangan baka yang berkualiti, harga makanan ternakan yang tinggi serta kekurangan kepakaran dan tenaga kerja. Transformasi industri ternakan akan ditumpukan kepada perusahaan ternakan secara komersial, penghasilan baka ternakan yang berkualiti, peluasan Amalan Penternakan Haiwan Baik (GAHP) dan penghasilan rumusan makanan ternakan yang berkualiti pada harga kompetitif. Selain itu, aspek R&D dari segi kawalan penyakit haiwan dan kecekapan sistem ternakan akan diberi penekanan. 

Industri bukan ruminan termasuk ayam/itik, khinzir dan telur yang telah pun mencapai tahap sara diri yang tinggi akan terus dibangunkan supaya daya saing dan kemampanan industri ini dapat ditingkatkan.

Permintaan daging dijangka meningkat daripada 1.4 juta tan metrik pada tahun 2010 kepada 1.8 juta tan metrik pada tahun 2020 dengan pertumbuhan sebanyak 2.4% setahun. Permintaan telur juga mengalami peningkatan 3.3% setahun daripada 468 ribu tan metrik kepada 649 ribu tan metrik manakala permintaan susu dijangka meningkat sebanyak 3.2% setahun daripada 1.4 bilion liter kepada 1.9 bilion liter. Penggunaan per kapita daging, telur dan susu juga dijangka meningkat dalam tempoh yang sama. Pengeluaran daging pula diunjur akan meningkat daripada 1.6 juta tan metrik pada tahun 2010 kepada 2.1 juta tan metrik pada tahun 2020 dengan pertumbuhan sebanyak 2.7% setahun (Carta 5-1). Pengeluaran telur juga dijangka meningkat daripada 540 ribu tan metrik kepada773 ribu tan metrik dengan pertumbuhan sebanyak 3.6% setahun (Carta 5-2) manakala pengeluaran susu disasar meningkat daripada 67 juta liter kepada 118 juta liter dengan pertumbuhan sebanyak 5.8% setahun dalam tempoh yang sama (Carta 5-3).

Pasaran eksport bagi industri ini dijangka terus berkembang di pasaran Singapura khususnya bagi telur dan ayam hidup manakala Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Brunei bagi sediaan daging dan telur.

Baca lagi di http://www.fama.gov.my/documents/10157/bb8b2cc2-4687-46bd-ac49-94f5be94807d

 <<<< TERNAKAN - Berita                                                                                        TERNAKAN - Aktiviti >>>>