PERTANIAN  -  Lampiran 2 

AKTIVITI PERTANIAN 

FERTIGASI

Kaedah fertigasi merupakan satu kaedah baru yang ditemui bagi menjalankan penanaman sayur-sayuran dalam tempoh masa jangka pendek.   Kaedah ini tidak memerlukan tanah sebagai media tanaman.  Medium-medium yang boleh digunakan seperti sabut kelapa, pasir sungai, sekam padi, vermikulit, perlit dan habuk kayu.  Beberapa jenis sayur-sayuran seperti tomato, cili, terung panjang, timun jepun, kobis bulat, lobak putih dan tembikai wangi sesuai menggunakan kaedah penanaman secara fertigasi.

Nutrien

Nutiren atau baja diberikan kepada tanaman secara sistem pengairan.  Nutrien disalurkan dalam bentuk larutan dan dititiskan ke pangkal tanaman untuk membasahi zon perakaran.

Nutrien-nutrien yang dititiskan terdiri daripada nutrien NPK (Nitrogen, Fosforos dan Kalium) sebagai unsur utama.  Manakala pemakanan makro pula terdiri daripada unsur-unsur surih seperti Kalsium (Ca.) Magnesium (Mg), Sulfur (S), Ferum (Fe), Mangan (Ma), Kuprum (Cu), Kobaltam (Co), Zink (Zn), Boron (Bo), Klorin (CI) dan Molibdenum (Mo). Kaedah ini juga dikenali sebagai ‘Hodroponik Beraggregat’.  Larutan-larutan nutrien yang dianggap sebagai nadi kepada kaedah fertigasi ini diagihkan dalam tiga cara itu secara Aliran Graviti, Pam Elektrik dan Penyuntik baja.  Aliran graviti boleh dilakukan secara manual oleh pengusaha mengikut kehendak dan jangka masa yang ditetapkan olehnya.  Air dan baja yang telah dibuat, disalirkan ke tangki penyimpanan yang diletakkan di tempat yang tinggi.

Dengan menggunakan tenaga graviti, baja tadi akan disalirkan ke tanaman.  Cara ini lebih praktikal digunakan oleh petani-petani memandangkan kosnya yang lebih rendah.  Manakala pam elektrik dan penyuntik baja pula menggunakan tenaga elektrik dan motor untuk pembajaan.  Tempoh masa pembajaan telah ditetapkan oleh pengusaha.  Oleh itu kosnya adalah lebih tinggi.  Seringkali kedua-dua cara ini digunakan oleh penyelidik-penyelidik untuk mendapatkan keputusan penyelidikan yang tepat.

Setiap tanaman mempunyai kadar nutrien yang berbeza.  Para pengusaha hendaklah bijak dalam melakukan formulasi nutrien dan peka kepada tindakbalas pokok terhadap setiap formulasi nutrien yang dibuat.  Tindakbalas ini menunjukkan kesesuaian tanaman terhadap formulasi nutrien yang dirumuskan.

Kelebihan

Dengan menggunakan kaedah fertigasi, masalah tanah seperti keluasan tanah terhad, tanah tidak subur, perumah penyakit dan perosak dapat diatasi kerana mikroorganisma penyebab penyakit yang selalu dibawa oleh tanah boleh dikawal kerana tanah tidak digunakan.  Nutrien lengkap dititiskan mengikut jumlah, keperluan tanaman serta peringkat pertumbuhannya.  Nutrien yang dibekalkan tidak terbazir kerana digunakan terus oleh akar tumbuhan.  Oleh itu, keperluan tenaga buruh bagi tujuan kerja-kerja membaja dan merumput dapat dikurangkan.

Masalah merumpai bukan lagi menjadi masalah utama.  Oleh itu penggunaan racun ke atas tanaman dapat dikurangkan.  Penggunaan baja adalah lebih cekap kerana baja yang diberi adalah mengikut formulasi yang diperlukan oleh tanaman.  Hasil yang diperolehi adalah lebih tinggi dan boleh mencapai pada kadar kira-kira 700% jika dibandingkan dengan cara penanaman dengan menggunakan tanah sebagai medium.  Hasil tanaman tidak tercemar oleh tanah dan akan kelihatan lebih bersih.

Keperluan infrastruktur

1.     Rumah Lindungan
Rumah lindungan didirikan bagi mengekalkan kelembapan, mengelakkan pancara ultra unggu serta terik cahaja matahari yang berlebihan.
2.     Sistem pengairan (titisan)
Sistem Pengiaran terdiri daripada pusat kawalan nutrien, paip ladang dan penitis (2L/H).
3.     Punca Air
Air boleh didapati dari kolam, telaga, telaga tiub dan lain-lain.  Air yang digunakan hendaklah bersih, jernih, bebas daripada penyakit dan pencemaran, tidak berbau dan mempunyai kandungan oksigen yang tinggi.
4.     Baja Fertigasi
Baja yang disediakan haruslah sesuai dengan tanaman agar dapat menghasilkan hasil yang tinggi.
5.     Alat Pengukur pG dan EC Larutan
Terdapat banyak pilihan yang boleh digunakan bagi mengiiut nilai pH dan nilai EC.  Biasanya ‘pocket size’ pH meter dan EC meter atau ‘portable pH/EC/TDS meter’.
6.     Media
Kadar pegangan air adalah dalam 60-80% dan udara 20-40%.  Contoh:  campuran habuk sabut kelapa dan arang sekam padi (1:1).
7.     Biji Benih
F1 hibrid (Holland seed) menjadi pilihan.  Tahap ketahanan rintang penyakit lebih terjamin, merupakan biji benih yang berkualiti dan untuk mendapatkan kadar percambahan yang maksimum.
8.     Bekas Tanaman
Bekas tanaman yang sering digunakan adalah polybeg 12″ x15″ atau 12″ x 17″.

Cara-cara Penyediaan Kaedah Fertigasi

Batu kelikir yang berukuran 1.3-1.9 cm diletakkan di dalam beg plastik atau saluran yang berdindingkan simen atau kaca gentian.  Titisan nutrien dimasukkan dari bahagian permukaan beg tersebut secara graviti.  Tititsan nutrien ini dibiarkan untuk 5-10 minit sehingga kelihatan larutan tersebut keluar semula dri bahagian bawah beg.

Rumah lindingan haruslah dibina bagi mengelakkan larutan nutrien menjadi cair apabila hujan.  Bahan-bahan lain sepertiTtildenet boleh juga dibuat atap tetapi mestilah tidak menyekat kemasukan cahaya matahari dengan banyak ke dalam struktur tersebut.  Frekuensi dan volume penyiraman seharusnya disesuaikan dengan keadaan cuaca, jenis dan umur tanaman, fasa pertumbuhan tanaman dan jenis media yang digunakan.  Jika keadaan cuaca hujan, frekuensi penyiraman hendaklah dikurangkan kerana media akan menjadi terlalu basah dan memberi kesan kepada pertumbuhan akar tumbuhan tersebut.  Keseimbangan yang sesuai antara air, udara, baja yang hendak digunakan dan media tanaman hendaklah dititikberatkan.

Nilai EC (jumlah baja yang larut dalam air) dan nilai pH (tingkat persamaan) sesuatu larutan adalah penting.  Ini akan menunjukkan berapa banyak unsur nutrien yang tersedia buat tanaman tersebut.  Jumlah nutrien tidak dapat distandardkan kerana perbezaan antara iklim, media dan jenis tanaman.  Kadar kepekatan (EC) yang diberikan untuk tanaman haruslah disesuaikan dengan situasi dan keadaan.  Nilai pH yang sesuai adalah antara 5.0-6.0 kerana pada kadar ini, semua unsur nutrien dapat diserap oleh tanaman.

Waktu penyiraman, jumlah penyiraman, EC/pH ini,  EC/pH out, suhu, RH dan keadaan cuaca harus dicatatkan.  Data-data ini nanti akan membantu pengusaha dalam mengambil keputusan untuk merubah satu-satu formulasi.

Anggaran kos dan belanjawan (0.4 hektar) mengikut Sistem Institut Pertanian Serdang (tahun 2002) adalah seperti berikut:-

RM

Rumah lindungan  8′x8′x60′ (60 unit @ 1700)

102,000.00

Sistem pengairan:- rumah pelindung 8″x40″ dan konkrit (1 buah @ 3,000 = 3,000)
- tangkinutrien 600G + tangki stok nutrien (5 buah @ 700 = 3,500)
- paip ladang  (main line, sub line & 6,00 penitis @ 2.50 = 15,000)
- pam elektrik, timer dan fitting (1 set @ 1,500)
- upah pemasangan RM5,.000

28,000.00

Punca air pH dan EC hendaklah dalam keadaan baik

20,000

Baja fertigasi (1 pusingan) (60-80 set @ 250 = 15,000-20,000)
Alat pengukur pH dan EC (portable)

1,2000.00

Media – campuran arang sekam & habuk sabut (600 @0.70)

4,200.00

Polibeg 250 kg @ 9.00

2,250.00

Biji benih 1000 biji/bks (9 bks @ 250.00

2,250.00

JUMLAH

159,900.00

Anggaran kos dan belanjawan mengikut Sistem Harrani (tahun 2002)
Rumah lindungan 20′ lebar x 170′ panjang (5 unit @ 8,700)

43,500.00

Sistem pengairan

30,000.00

JUMLAH

73,500.00

Anggaran yang dibuat ini, hanyalah melibatkan kos pembinaan sahaja.  Kos operasi pula adalah seperti sistem yang dijalankan oleh Institut Pertanian Serdang.

Anggaran Kos dan Belanjawan Mengikut Sistem MARDI

Jumlah kos pembinaan serta kos operasi yang terlibat adalah sebanyak RM350,000 ribu.  Ini kerana MARDI lebih tertumpu kepada sistem kawalan suhu dan kelembapan yang canggih.  Segala penyelenggaraan projek ini diselenggarakan sepenuhnya dengan menggunakan sistem komputer.  Sistem ini lebih menekankan kepada aspek penyelidikan dan bukanlah untuk tujuan komersial.

Kesimpulan

Walaupun kos yang terlibat adalah agak tinggi, namun dengan kaedah fertigasi, beberapa masalah yang timbul dalam sistem penanaman secara konvensional dapat di atasi.  Sistem penanaman tanpa tanah telah dapat menghapuskan penyakit yang berasal daripada tanah.  Sebagai contoh penyakit layu bakteria yang selama ini telah menjadi masalah utama bagi tanaman tomato dan cili dapat diatasi.  Selain itu penanaman juga dapat dilakukan sepanjang tahun kerana musim hujan atau kemarau tidak mempengaruhi kegiatan penanaman.  Pengusaha dapat merancang masa dan jumlah pengeluaran hasil mengikut keperluan pelanggan dan pasaran.  Kelebihan ini memberi keuntungan kepada pengusaha kerana semua faktor penentu harga adalah dibawah kawalan pengusaha sekiranya penanaman dibuat mengikut jadual dan perancangan menepati permintaan pasaran

(Dipetik dari majalah Wawasan Pertanian Bil. 16/2002).

BAJA ORGANIK

Telah diakui usaha menanam sayur mampu memberi pulangan yang lumayan.  Keuntungannya akan bertambah sekiranya bijak merancang bagi tujuan menjimatkan kos pengeluaran terutama dalam penggunaan baja.  Kos membaja dalam tanaman sayur agak tinggi berbanding dengan lain-lain tanaman.

Sisa tanaman dan habuk gergaji boleh digunakan sebagai media tanaman.  Bahan ini biasanya akan dibuang oleh pengusaha tanaman selepas memungut hasil.  Satu lagi bahan utama yang penting dalam pembuatan baja organik ialah sekam padi.  Sekam padi merupakan bahan organik yang baik untuk mengemburkan struktur tanah, tambahan pula bahan ini murah dan mudah didapati.  Penggunaan najis ayam juga sesuai untuk menggalakkan pembiakan dan kesuburan bakteria yang banyak membantu dalam proses pereputan.

Teknik pemprosesan

Sisa pertanian digaul dengan najis ayam, habuk gergaji dan sekam padi.  Campuran ini kemudiannya dilonggok meninggi kelihatan seperti busut.  Bahan campuran ini akan dibalik-balikkan selepas dua minggu dan bacaan suhu dibuat pada setiap minggu dengan menggunakan alat termometer.  Sewaktu proses pereputan berlaku, bahan campuran ini akan mengeluarkan suhu yang tinggi dan suhu akan dipantau sebanyak tidak melebihi 70 celcius.  Sekiranya suhu mencecah 70 celcius, siraman air perlulah dibuat untuk mengelakkan bahan ini terbakar dengan sendirinya.  Bahan-bahan organik ini mulai reput selepas satu bulan dan akan bertukar struktur keseluruhannya menjadi peroi dan berwarna hitam selepas enam bulan. Pada peringkat ini, baja organik ini sudah cukup reput dan boleh digunakan di ladang.

Kebaikan baja organik

Perbelanjaan membaja tanaman sayur berkurangan lebih dari 50%.  Rasa sayur yang dihasilkan juga lebih rangup dan manis terutamanya lobak merah dan kobis bunga.  Penggunaan baja organik dapat mengurangkan serangan musuh perosak.  Satu lagi kebaikan penggunaan baja organik ini ialah mengelakkan berlakunya pembaziran dan tidak mengamalkan pembakaran terbuka yang lazimnya diamalkan oleh kebanyakan petani.  Penggunaan baja organik juga membantu memulihan struktur tanah yang diusahakan secara intensif.  Struktur tanah akan menjadi gembur dan banyak mengandungi bahan organan. (Dipetik dari majalah Wawasan Pertanian Bil. 16/2002).